Petikan dari saifulislam.com

Entahlah kenapa.

Saya hilang tumpuan. Gelisah dan tidak tentu arah.

Saya tidak boleh menulis.

Sudah hampir 10 artikel saya karang, semuanya berhenti di tengah jalan.

Tulisan saya hambar, kering, dan tiada sentuhan.

Lama saya termenung di jendela rumah. Apa sebenarnya yang tidak kena. Sampai terbawa-bawa ke dalam tidur.

”Abi cakap apa ni?”, Saiful Islam menggerak saya di tengah malam. Saya mengigau, bercakap di dalam tidur.

Seminggu dua ini, fikiran saya amat terganggu.

Saya cuba menyelak-nyelak kembali rentetan peristiwa demi peristiwa di sepanjang seminggu dua ini, untuk mengesan punca keresahan hati.

RESAH PERTAMA

Saya telah tersilap memberitahu ke kampung bahawa saya akan balik bercuti minggu lalu, sedangkan tarikh sebenarnya ialah hujung minggu ini.

Mungkin emak berkecil hati, saya perlu meminta maaf. Dan esok saya sekeluarga akan balik ke kampung selepas lebih 3 bulan saya tidak pulang. Isteri saya berjaya melepasi 6 bulan tanpa cutinya, kerana 2 minggu yang diperuntukkan bagi setiap 6 bulan, terpaksa digunakan untuk menampung cuti bersalin, Disember lalu.

Kesalahan kepada seorang ibu, memang menjadikan hidup saya sering tidak tentu arah.

RESAH KEDUA

Saya semakin kehilangan beberapa orang sahabat. Bukanlah berhenti bersahabat, namun kemesraan itu terguris disebabkan oleh pendirian saya.

Saya lebih menyayangi dakwah dan perjuangan, berbanding sahabat yang membantutkan pergerakan.

Semenjak saya mula boleh berfikir sendiri, saya bebas menentukan apa yang mahu saya fikirkan. Pada saya, manusia yang terpengaruh, hanya manusia miskin dan bodoh. Kemiskinannya dimanipulasi dalam bentuk subsidi dan ganjaran, kebodohannya dimanipulasi dalam bentuk kongkongan pemikiran.

Pendirian saya ini telah banyak menyusahkan kehidupan saya semenjak di Jordan lagi.

Banyak pendirian saya, bertentangan dengan pegangan popular semasa itu, biar pun di kalangan mereka yang se’fikrah’ dengan saya. Kesefahaman dalam perjuangan, tidak menjadikan saya menswastakan akal fikiran saya kepada senior atau sesiapa sahaja. Apa yang saya setuju, saya menyetujuinya kerana ia meyakinkan. Apa yang saya tidak setuju, saya tidak menyetujuinya kerana ia bersalahan. Menyalahi ilmu dan kebenaran.

Akibatnya, saya sering kontroversi di sana sini.

Harga kontroversi itu mahal. Sehingga saya tidak mampu untuk banyak bercerita tentang Jordan, berbanding memori saya tentang Turki dan Ireland.

Kontroversi itu mungkin berpunca daripada kedegilan saya yang susah untuk menerima apa-apa yang tidak sesuai dengan pendirian.

berucap.JPG

OVER THE LIMIT?

Pernah sekali, pelajar Malaysia telah mengadakan sebuah seminar di sebuah kolej di Jordan. Saya yang dilantik sebagai pengerusi program, telah diarahkan oleh Pengarah program supaya membuat pengumuman, meminta peserta lelaki membuka ketayap.

Alasannya, takut dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin, sebab kolej tersebut adalah milik Ikhwan.

“Saya diarahkan untuk membuat pengumuman agar peserta lelaki membuka ketayap. Alasannya ialah supaya kita tidak dikaitkan dengan I.M, pemilik kolej ini. So, saya harap sahabat semua dapat ikut arahan ini, walaupun ia pelik bagi saya. Jika takut dikaitkan dengan I.M, janganlah buat program di kolej I.M. Dan imej I.M, tak ada kena mengena dengan ketayap. Setahu saya, orang Jordan yang pakai ketayap hanyalah yang ikut Jemaah Tabligh. Orang I.M. semua berkod dan bertali leher”, saya menyelesaikan pengumuman.

Mungkin agak kurang ajar bunyinya, tetapi itulah saya, di usia 19 tahun. Seorang yang sukar menghadamkan kebodohan ke dalam diri.

Majlis menjadi kecoh dan saya mula mencipta masalah sendiri.

Sehingga kini, penglibatan saya di dalam kerja-kerja Islam, masih dengan sikap yang tidak banyak berubah, lantas nasib saya juga tidak banyak berubah. Inilah penyumbang kepada kerunsingan saya baru-baru ini.

MENELADANI JATUH BANGUN TAMADUN

Beberapa minggu yang lalu, saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan dengan proses meneladani kegemilangan dan kejatuhan Othmaniyyah. Tajuk yang sudah berkali-kali saya sampaikan.

Namun kali ini saya cuba memfokuskan kepada konsep Challenge and Response.

Bahawa jatuh bangunnya sebuah tamadun, amat berkait rapat dengan bagaimanakah response mereka kepada cabaran yang muncul dari satu zaman ke satu zaman. Apabila challenge muncul, ummah mesti responsif. Kejumudan yang melumpuhkan tindak balas dan reaksi, adalah pembunuh paling agresif bagi sebuah tamadun.

Seandainya ada reaksi, maka ia mestilah pula tepat dengan bentuk cabaran yang dihadapi.

Di sudut inilah jatuh bangunnya Othmaniyyah, malah mana-mana sahaja tamadun manusia, boleh difahami.

nudawiluha.JPG

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia (Aal Imraan 3: 140)

Kegagalan sesebuah tamadun untuk memberikan reaksi yang tepat terhadap cabaran yang dihadapi, akan mengundang kematian.

Kata Arnold Toynbee dalam hal ini ”tamadun mati bukan akibat pembunuhan, malah mati kerana membunuh diri!”

Benar sekali… tamadun mati bukan dibunuh, tetapi mati kerana membunuh diri. Sudah berapa kali tamadun Islam cuba dibunuh. Paling dahsyat, adalah pada tahun 1258 ketika Holago dan bala tenteranya datang membinasakan Baghdad.

Namun kebinasaan itu segera sembuh. Umat Islam kembali bangkit. Othmaniyyah bangun mengambil alih kepimpinan, Mogol pula berbondong-bondong menerima Islam. Tanda cabaran bersahut tindakan. Tindakan yang menepati sasaran.

Akan tetapi kejatuhan Othmaniyyah bukan kerana ditikam atau dibunuh musuh. Sebaliknya ia mati membunuh diri. Matinya datang dari dalam. Kejatuhannya meninggalkan ummah dalam kegelapan malam. Masih gelap dan kelam…

PELAJARAN BUAT PENDUKUNG PERJUANGAN ISLAM

Pelajaran inilah yang cuba saya sampaikan kepada hadirin, bahawa gerakan Islam perlu muhasabah dan menilai pendekatan, dari semasa ke semasa.

Kenal pasti apakah cabaran semasa? Kemudian tentukan tindak balas yang sesuai dengannya.

Mad’u sudah berubah, da’ie dan dakwah bila lagi?

Atas kesedaran itu, saya menulis beberapa artikel kebelakangan ini, yang bertujuan mengajak semua mereka yang terlibat di dalam dakwah dan gerakan Islam, agar melakukan muhasabah. Bukan hanya menyemak kulit, malah isi dan inti.

Pendekatan Tarbiyah yang dirangka puluhan tahun yang lalu dan modus operandi yang dicopy and paste dari satu generasi ke satu generasi, tidakkah sudah tiba masanya untuk ia disemak? Mungkin perlu diubah, mungkin tidak perlu. Tetapi semakan mesti dibuat terlebih dahulu. Bukan hanya menyemak kulit, malah isi dan inti.

Di dalam proses evaluasi itu, saya tidak terkilan terhadap perbezaan pandangan. Ia lumrah… kerana manusia memang berdepan dengan banyak blind spot dalam hidupnya. Itulah hikmahnya bermesyuarat dan bekerja dalam pasukan.

Tetapi jika mahu berbeza pandangan, biarlah perbezaan itu ada asas yang jelas.

Saya tidak kesal jika melukut yang bergantang-gantang di alam siber ini mencaca merbakan apa yang cuba saya tulis. Biarkan sahaja mereka menuduh saya dengan apa sahaja tuduhan yang diinginkan, saya bisa menganggapnya sebagai jerebu yang singgah seketika, sebelum hilang dibawa angin dan masa.

Tetapi saya khuatir apabila para pendakwah dan amilin Islam sendiri meremeh temehkan cadangan saya terhadap perubahan pendekatan dakwah.

Sokongan saya kepada lontaran idea Fathi Aris Omar di dalam beberapa artikelnya telah amat disalah tanggap. Sebagaimana Fathi Aris Omar sendiri dicat dengan pelbagai warna dan label, saya turut menerima tempiasnya. Saya tidak risaukan diri saya dan jauh sekali untuk risaukan tentang Fathi Aris Omar. Tetapi saya risaukan masa depan dakwah, jika da’ie yang mendukungnya bermasalah. Bukan masalah luaran, tetapi masalah dalaman. Penyakit dalaman yang fatal.

Keengganan mengaku sakit, membuang potensi apa sahaja ubat yang ditawarkan.

Di dalam artikel saya ”Manusia Berhubung Dengan Perasaan”, saya cuba mencadangkan perubahan agar pendekatan dakwah secara kekerasan dan indoktrinasi di peringkat memperkenalkan Islam, dihentikan. Akan tetapi lontaran idea saya disambut secara sinis, penuh sindiran dengan bahasa yang sarcarstic oleh pendakwah.

Saya berlapang dada terhadap perbezaan pandangan, tetapi asaskan perbezaan itu di atas satu diskusi yang sihat.

Bahasa menyindir yang mempamerkan pemikiran defensif yang agresif, sangat mendukacitakan saya. Saya tidak mampu meletakkan harapan perubahan masyarakat kecuali kepada pendakwah. Tetapi, jika ruang muhasabah dan pemikiran asertif ditutup oleh pendakwah sendiri, ia adalah salah satu cubaan membunuh diri

.rp.gif

 

TELADAN TURKI MODEN

Ramai yang kagum dengan pencapaian Refah, Fazilet dan Adalet ve Kalkınma Partisi (AKP) di Turki, tetapi berapa ramai yang mahu belajar darinya? Keupayaan AKP untuk sampai ke peringkat mampu menghantar calon Presiden, yang suatu ketika diduduki oleh Mustafa Kemal Atatürk, bukanlah datang menggolek.

Mengapa tidak dipelajari bagaimana response mereka kepada challenge di sepanjang zaman Milli Nizam Partisi(MNP) dan Milli Selamet Partisi (MSP) hingga ke era Refah, Fazilet dan AKP.

Sudah pelbagai cabaran muncul, dan sudah berapa banyak perubahan mereka lakukan? Itu rahsia kejayaan perjuangan Islam di Turki. Challenge and Response.

Keengganan kita menyemak cabaran dan tindakan, apakah ini petanda kita sedang membunuh diri?

Inilah yang membuntukan diri saya… sejak kebelakangan ini.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s