Peristiwa Penting Hari Ini. Sabtu. 7 Mac 2009

Di petik dari http://msomelayu.blogspot.com

Lepas Sebak

Apa nak jadi dengan negaraku?
Hendak Jumpa Raja Pun Dihalang!

Apa nak jadi dengan negaraku? Hendak Jumpa Raja Pun Di halang! APA nak jadi dengan Malaysia?

Kebebasan sudah tidak ada lagi. Suara rakyat sudah dipancung. Rakyat boleh bersuara jika ada permit. Percakapan rakyat perlu dijaga dan dikawal oleh undang-undang. Kehidupan rakyat seolah-olah berada dalam kawalan rejim komunis. Apa-apa kegiatan perlu dikawal atas nama keselamatan!

ppsmi-3

Walhal keselamatan yang dijaminkan itu bukan untuk keamanan, tetapi membuka ruang kepada satu mala petaka. Atas nama keselamatan jiwa dan kalbu rakyat terus sakit dan marah. Marah… Rakyat hendaklah dibisukan dari bercakap mengenai apa saja. Apa-apa cakap yang tidak senada dengan kerajaan, akan disekat dan dihalang dan dianggap sebagai menghasut yang boleh didakwa di bawah akta Hasutan 1948. Atau kalau perlu kepada yang keras dan degil di penjara di bawah ISA. Cakap-cakap mestilah senada dengan kerajaan dan yang baiknya membodek kerajaan. Jadi cina buta kepada kerajaan. Dalam masa sama kerajaan melaungkan kebebasan, melaungkan keadilan dan melaungkan ketelusan.

Hakikinya kebebasan sudah mati, keadilan sudah lama pincang dan ketelusan sudah lama ditambak dengan kuasa yang ada; polis, mahkamah dan kemudian penjara. Pintu penjara negara ini tidak pernah terkatup melainkan senantiasa dingangakan seluasnya. Jangan cakap mengenai apa-apa pun. Diam atau gamkan mulut!

Kerajaan sedang mengajar rakyat menjadi beruk yang bisu yang tertenggek atas dahan mati yang hanya perlu merasa seronok bila tuan menghulurkan pisang separuh masak. Kemudian beruk perlulah menghingguk-hingguK batang pokok menandakan terima kasih kepada penghulur pisang separuh masa itu. Jangan tungging jubur nanti ditembak. Inilah negaraku Malaysia di bawah kerajaan Umno Barisan Nasional (UBN). Apa yang berlaku hari ini adalah konklusi ke atas segala kekejaman kerajaan. Manusia dari benua mana pun kalau melihat apa yang berlaku hari ini akan terkejut dan hairan. Masakan rakyat tidak boleh menemui rajanya untuk menyampaikan bantahan jiwanya yang bimbang mengenai masa depan anak bangsanya sendiri. Bukankah itu gila namanya kalau bukan babuk?

Kalau rakyat berhimpun hendak memaki hamun raja-raja dan sultan ada ‘kulihah’nya kalau mereka dihalang, disekat kemudian ditembak dengan gas pemedih mata. Hatta kalau guna peluru hidup pun tidak mengapa. Tembaklah anasir yang merosak negara, boleh dibenarkan dan seluruh rakyat akan memuji dan memuja kerajaan. Misalnya kalau rakyat berhimpun hendak runtuhkan istana, tembaklah mereka, bomlah macam Israel bom rakyat Palestin biar hancur kepala dan terburai tali perut mereka. Tidak mengapa itu wajar sebab mereka pengkhianat.

Di mana-mana dan sesiapa saja pengkhianat perlu ditembak sampai mampus tanpa mengira darjat, keturunan dan kedudukan mereka. Kalau mereka berarak hendak robohkan Parlimen, lambang keunggulan institusi demokrasi negara ini, tak mengapa, halang dan sekatlah mereka. Kalau perlu tembak mereka, tembak dan pancunglah kepala mereka sekali. Usahkan air gatal (water cannon) atau gas pemedih mata, hatta C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya Shariibuu pun halal digunakan. Bunuhlah…

ppsmi-2

Tetapi hari ini rakyat berhimpun hendak menyerahkan sekeping kertas kepada rajanya – Yang di-Pertuan Agong, apakah itu perbuatan salah? Salahkah? Apakah itu satu dosa dan satu penderhakaan? Puluhan ribu yang berarak ke istana hari ini kerana ingin membela bahasa mereka, Bahasa Melayu. BAHASA MELAYU?

Mereka bukan berarak untuk membela bahasa penjajah, tetapi berarak untuk membela bahasa mereka, bahasa Melayu. Mereka melakukan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Mereka buat untuk kebaikan bangsa Melayu dan juga negara ini bukan untuk kepentingan sesiapa atau mana-mana golongan. Manfaat yang diperjuangkan itu untuk kepentingan bersama.

Kenapa harus dicurigai niat suci mereka. Kenapa tidak reti membaca hati putih rakyat? Perarakan hari ini bukan bermotif politik. Apakah pihak kerajaan, penguasa buta mata hati dan suduh tertutup sanubari mereka. Begitu mudah pihak polis membuat andaian kononnya ianya didalang parti politik.

Kenalkah mereka kepada Dr Hassan Ahmad, A Samad Said, Ainon Mohamad, Dr Hassan Mohamad, Dr Shahrir Md Zain, Baha Zain dan lain-lain. Mereka bukan aktivis politik, mereka adalah pencinta dan pejuang sastera dan bahasa. Kenapa kerja suci mereka diragui? Kenapa? Apakah perbuatan mereka itu salah? Apakah di zaman ini rakyat tidak lagi boleh mengadu hal-hal masalah kepada raja-raja mereka.

ppsmi-11

Apakah raja-raja hak sesuatu golongan saja? Atau raja-raja hanya sedia mendengar dari golongan tertentu yang boleh memberi apa-apa nafkah untuk kehidupan mereka saja. Begitukah? Dan bukankah sokongan rakyat jelata adalah jaminan keunggulan institusi raja dan keselamatan keturunan mereka?

Seharusnya tidak ada sekatan dan halangan ke atas perarakan membawa memorandum untuk menghapuskan PPSMI itu. Mereka perlu diberi jalan seluasnya. Mereka bukan perlu dinanti dan dihalang dengan gas pemedih mata, gari, belantan atau kamera tetapi mereka perlu diiringi dan dikawal daripada pengacau lain. Itu sepatutnya.

Pembawa memorandum itu adalah mereka yang suci dan bersih. Tangan mereka putih daripada rasuah dan gila kuasa politik atau membunuh manusia lain. Mereka tidak ada apa-apa ambisi untuk berkuasa. Mereka membawa sekeping hati rakyat Melayu untuk ditunjukkan kepada raja mereka, betapa remuk, bera dan birunya hati rakyat kerana bahasa mereka diinjak-injakkan.

Yang membuka kaki menginjanya orang yang mengaku Melayu juga. Jadi salahkah? Salahkah? Salahhhhhhhkah? Kepada para penembak tepat dalam pasukan polis, FRU, SB dan segala macam, apakah mereka sedar apa yang GMP lakukan itu untuk siapa? Untuk mereka, anak-anak mereka juga. Mungkin mereka boleh beralasan kerana itu arahan ketua mereka. Siapa ketua mereka? Apakah ketua mereka juga tidak ada akal budi dan akal fikir bagi menilai apa yang GMP lakukan itu.

Semuanya kini sudah jadi haru biru dan tidak tahu hujung pangkal. Kedudukan rakyat pun cuba dipisahkan dari raja dan istana. Atas nama nak menjaga kemuliaan raja tetapi mereka menyimpan motif untuk menjauhkan rakyat dengan rakyat.

Mereka mahu memonopolikan raja sebagai hak mereka saja. Yang salah di sini bukan raja. Tetapi para pengawal raja yang zalimnya. Para penasihat yang ada kepentingan. Raja sebagai raja berperlembagaan mengikut saja lembaga yang menentukan gerak geri mereka. Bagaimana pun diharap raja sesekali perlu menjenguk jendela untuk menghirup udara di luar dan melihat realiti yang riuh randah di luar istana.

Namun kita percaya keadaannya tidak seperti itu. Kini memorandum PPSMI itu sudah pun ditangan Yang di-Pertuan Agong ia diserahkan oleh A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad. Kita berharap baginda akan meneliti dan menatapnya dengan penuh prihatin, insaf dan sedia menimbangkan.

Suara Perdana Menteri dikejauhan kedengaran hari ini juga satu perkembangan yang baik. Kata Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang hendak bersara esok lusa itu, masalah PPSMI perlu ditangani dengan segera kerana ia semakin mendapat tekanan. Kata Abdullah kalau ia tidak ditangani segera ia akan menjadi masalah besar. Jadi, tunggu apa lagi? Hairan, apakah perdana menteri itu sudah tidak ada kuasa lagi? Atau kuasanya telah dirampas oleh timbalannya? Kalaulah beliau serius dan ikhlas kenapa beliau tidak arahkan hari ini juga Menteri Pelajaran, Hishmuddin Hussein agar memansuhkan PSPMI? Kenapa harus bermadah helah lagi. Atau suara perdana menteri itu sebagai hendak memujuk dan menyejukkan hati para pejuang bahasa dan sastera saja.

Sesungguhnya Abdullah perlu menyengolahkan semula Hishamuddin. Perarakan hari ini tidak akan menjadi kalau perdana menteri prihatin dan peka, dan tidak pekak. Wang kerajaan yang digunakan untuk membeli gas pemedih mata boleh diselamatkan. Wang petrol atau diesel trak dan kereta peronda polis dan helikopter boleh diselamatkan. Rakyat juga tidak berpedih mata dan pegap-pegap urat kerana lari menyelamatkan diri semasa perarakan tadi. Keadaan negara juga tidak menggambarkan seperti huru hara yang menakutkan pelabur.

Namun kerana PM kurang cerdik, lambat bertindak, teragak-agak, berfikir terlalu panjang, lembab dan lemah maka jadikan apa yang sudah terjadi. Apakah makna seorang PM mengatakan ia perlu diselesaikan segera? Dalam konteks hari ini ialah mengarahkan supaya PPSMI dimansuhkan.

Dan bila PM tidak dapat bertindak maka ia menggambarkan seolah kuasanya sudah tidak ada. Untuk apa Abdullah bersuara menyatakan masalah itu kalau ia sudah kehilangan kuasa sebelum jawatannya terlepas? Kalau hanya setakat bermadah untuk menarik simpati dan memberi keseronokan kepada rakyat tidak payahlah. Rakyat tidak lagi mengharap apa-apa harapan kepada Abdullah. Rakyat tidak lagi menaruh apa-apa keyakinan kepada Abdullah. Rakyat semuanya sudah cemuh dan menganggap Abdullah kini sedang persis koma sebelum jasadnya dibawa ke kuburan untuk ditalqinkan Najib. Tahniah dan syabas kepada semua rakyat yang berarak hari ini.

Yakin dan percayalah penderitaan yang dikecapi hari ini adalah penawar dan peristiwa yang akan menjadi manis selepas ini. Dan parut yang berbekas hari ini adalah bukti kepada anak bangsa bahawa kita adalah seorang pejuang. [***kl 7:00 malam 07/03/09]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s